Memperluas ilmu pengetahuan, jana pemikiran lebih dinamik




Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Jun. - Penganjuran Multaqa Da'ie merupakan salah satu inisiatif Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam menyediakan platform kepada para da'ie untuk memperluas ilmu pengetahuan, menjana pemikiran yang lebih dinamik serta mengambil peluang berkongsi pengalaman melalui pertemuan dengan tokoh akademik dan ulama dari dalam dan luar negara.


Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan keyakinan dan keupayaan para da'ie tempatan agar lebih berdaya saing, di samping memperkukuhkan kredibiliti Pegawai-pegawai PDI dalam bidang dakwah, khususnya dalam penyampaian ceramah dan pengendalian program-program dakwah.


Sehubungan itu, PDI melalui Bahagian Penyebaran Da'wah, pagi tadi, mengadakan Majlis Multaqa Da'ie Bersama Profesor Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail bertempat di Dewan Persidangan, pusat berkenaan.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Seramai 140 peserta yang terdiri daripada pegawai dan da'ie KHEU serta jabatan-jabatan di bawahnya, di samping pegawai dan da'ie jemputan PDI menyertai multaqa tersebut.


Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Awang Muhamad Abdul Haziq bin Hanafi. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah PDI, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman.


Acara utama multaqa ialah penyampaian ceramah bertajuk 'Baldatun Thaiyibah dan Kesejahteraan Ummah: Peranan Para Da'ie' oleh penceramah khas, Profesor Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail.


Ceramah tersebut antara lain mengetengahkan beberapa inti pati penting, antaranya ciri Baldatun Thaiyibah dan ummah yang sejahtera; tiga asas kesejahteraan ummah iaitu Hablum Minallah (hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala), Hablum Minannas (hubungan sesama manusia) dan Hablum Minal 'Alam (hubungan dengan alam sekitar) dan hubungan antara kesejahteraan ummah dengan kebahagiaan serta kesihatan mental.


Selain itu, ceramah antara lain juga menekankan tiga pendekatan dakwah iaitu bil hal (melalui tindakan dan turun padang), 'bil maqal/bil kitabah' (melalui percakapan dan penulisan) serta 'bin naqal' (melalui komunikasi dan penyampaian maklumat); serta persiapan dan adab yang perlu dimiliki oleh para da'ie dalam melaksanakan tugas dakwah.


Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah khas yang disempurnakan oleh tetamu kehormat dan diakhiri dengan bacaan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-'Asr.


Penganjuran Multaqa Da'ie ini diharapkan dapat terus menyuntik semangat dan mengukuhkan istiqamah para da'ie dalam usaha menyebarkan syiar Islam, di samping mempertingkatkan kesiapsiagaan mereka dalam mendepani cabaran dakwah kontemporari.


Dengan adanya usaha yang dilaksanakan, diharap akan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala serta menjadi pemangkin kepada pelaksanaan dakwah yang lebih tersusun, berkesan dan berimpak tinggi selaras dengan keperluan semasa.


Close